Latest Post

Showing posts with label Berita. Show all posts
Showing posts with label Berita. Show all posts

Sunday, January 30, 2011

Israel cemas pantau perkembangan

BAITULMAQDIS: Di sebalik sikap berdiam diri, Israel memerhatikan perkembangan rusuhan antikerajaan di Mesir dengan perasaan berdebar kerana bimbang ia dapat menumbangkan rejim Hosni Mubarak yang selama ini banyak membantu dasar Tel Aviv di dunia Arab.
Ketika Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengarahkan kerajaannya tidak memberi sebarang reaksi mengenai situasi Mesir, syarikat penerbangan Sun D’Or secara diam-diam membawa keluar warga negara itu - termasuk diplomat - kembali ke Israel.

Operasi itu dibuat melalui satu penerbangan khas disediakan Sun D’Or.
Sebagai sekutu akrab Israel, Tel Aviv memang mahu kestabilan kerajaan Hosni berterusan bagi melindungi kepentingan rejim Tel Aviv.

Mesir adalah negara Arab pertama berdamai dengan Israel dan sejak menggantikan Anwar Sadat yang dibunuh tiga dekad lalu, Hosni dengan taat menghormati setiap janji terkandung dalam perjanjian damai berkenaan.

Hosni juga bertindak sebagai penghubung Israel kepada dunia Arab dengan sering menjadi perantara dalam isu Palestin.








Lebih penting, kerajaan Hosni bekerjasama dengan Tel Aviv mengekang kumpulan pejuang Islam Palestin, Hamas, daripada mentadbir Gaza secara berkesan.

Seorang pegawai Israel mengaku amat bimbang terhadap masa depan Hosni.
“Kami juga bimbang kebangkitan rakyat itu menular ke Jordan atau wilayah Palestin,” katanya. - AP


Saturday, January 29, 2011

1,000 polis kawal mahkamah bicara Ariel

BANDUNG: Seramai 1,000 anggota keselamatan dikerah mengawal kawasan mahkamah esok apabila hakim membacakan hukuman ke atas Ariel.
Selain orang awam, berpuluh-puluh artis dikatakan bakal hadir ke kawasan berkenaan untuk memberi sokongan kepada bekas vokalis Peterpan itu.

Didakwa atas tuduhan menyebarkan klip video lucah memaparkan aksi ranjangnya bersama Luna Maya dan Cut Tari, Ariel berdepan hukuman penjara jika disabitkan kesalahan.
Pendakwa mencadangkan supaya Ariel dipenjara lima tahun serta didenda RM84,600.

Bagaimanapun, Ariel dan peguamnya yakin pendakwa gagal mensabitkan kesalahan itu.

Pegawai polis Bandung berkata, selain anggota keselamatan tempatan, kawalan turut dibantu polis Jawa Barat.

“Ia membabitkan kawasan mahkamah serta jalan raya di sekitarnya,” katanya. - CC

Berjalan selepas ditikam

KUALA LUMPUR: Seorang wanita sempat berjalan kira-kira 200 meter dengan kesan tikaman di dada sebelum ditemui orang ramai di Kilometer 5.4 Jalan Sungai Tua Ulu Yam, dekat sini, kira-kira jam 3 pagi semalam.
Bagaimanapun, wanita berusia 20 tahun itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Selayang (HS), dipercayai akibat kehilangan banyak darah.

Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi berkata, mangsa dipercayai ditikam ketika berada dalam sebuah kereta sebelum ditinggalkan di kawasan itu.
“Kita percaya mangsa terpaksa berjalan sejauh 200 meter dipercayai bagi mendapatkan bantuan orang ramai berdasarkan tompokan dan titisan darah yang ditemui sepanjang laluan berkenaan.

“Bagaimanapun, dia yang kehilangan banyak darah tidak dapat meneruskan perjalanan sebelum ditemui terbaring di bahu jalan oleh beberapa orang awam yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.

“Saksi kejadian segera menghubungi pihak berkuasa melaporkan kejadian itu sebelum sekumpulan anggota polis dikejarkan ke lokasi,” katanya.


Menurut Abdul Rahim, mangsa yang ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian itu kemudian dibawa ke HS dengan menaiki sebuah ambulans.

“Ketika dibawa ke hospital, keadaan mangsa sudah nazak sebelum dia disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.


“Sehingga kini, identiti mangsa belum dikenal pasti, namun polis percaya dia warga tempatan. Senjata yang digunakan suspek juga belum ditemui,” katanya.

Abdul Rahim berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dan orang ramai yang ada maklumat mengenai insiden itu diminta tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.

Dalam kes berasingan, seorang wanita berusia lewat 30-an dipercayai warga Indonesia maut selepas dilanggar kereta dipandu seorang lelaki warga Iran di Jalan Istana berhampiran Dewan Bahasa dan Pustaka, di sini, kira-kira jam 2 pagi semalam.

Difahamkan, wanita terbabit mengalami masalah mental.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning ketika dihubungi berkata, mangsa yang berbogel dilaporkan tiba-tiba berhenti di tengah jalan ketika melintas.

“Tindakan wanita terbabit menyebabkan pemandu berusia lingkungan 30-an itu tidak dapat mengelak sebelum merempuhnya. Mangsa yang cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian. Mayatnya kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat,” katanya.


Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
FanfareForum.Net | Our Fan Page
back to top