KUALA LUMPUR: Seorang wanita sempat berjalan kira-kira 200 meter dengan kesan tikaman di dada sebelum ditemui orang ramai di Kilometer 5.4 Jalan Sungai Tua Ulu Yam, dekat sini, kira-kira jam 3 pagi semalam.
Bagaimanapun, wanita berusia 20 tahun itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Selayang (HS), dipercayai akibat kehilangan banyak darah.
Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi berkata, mangsa dipercayai ditikam ketika berada dalam sebuah kereta sebelum ditinggalkan di kawasan itu.
“Kita percaya mangsa terpaksa berjalan sejauh 200 meter dipercayai bagi mendapatkan bantuan orang ramai berdasarkan tompokan dan titisan darah yang ditemui sepanjang laluan berkenaan.
“Bagaimanapun, dia yang kehilangan banyak darah tidak dapat meneruskan perjalanan sebelum ditemui terbaring di bahu jalan oleh beberapa orang awam yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.
“Saksi kejadian segera menghubungi pihak berkuasa melaporkan kejadian itu sebelum sekumpulan anggota polis dikejarkan ke lokasi,” katanya.
Menurut Abdul Rahim, mangsa yang ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian itu kemudian dibawa ke HS dengan menaiki sebuah ambulans.
“Ketika dibawa ke hospital, keadaan mangsa sudah nazak sebelum dia disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.
“Sehingga kini, identiti mangsa belum dikenal pasti, namun polis percaya dia warga tempatan. Senjata yang digunakan suspek juga belum ditemui,” katanya.
Abdul Rahim berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dan orang ramai yang ada maklumat mengenai insiden itu diminta tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.
Dalam kes berasingan, seorang wanita berusia lewat 30-an dipercayai warga Indonesia maut selepas dilanggar kereta dipandu seorang lelaki warga Iran di Jalan Istana berhampiran Dewan Bahasa dan Pustaka, di sini, kira-kira jam 2 pagi semalam.
Difahamkan, wanita terbabit mengalami masalah mental.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning ketika dihubungi berkata, mangsa yang berbogel dilaporkan tiba-tiba berhenti di tengah jalan ketika melintas.
“Tindakan wanita terbabit menyebabkan pemandu berusia lingkungan 30-an itu tidak dapat mengelak sebelum merempuhnya. Mangsa yang cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian. Mayatnya kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat,” katanya.